Statistik terperinci bantu kerajaan buat perancangan

37

19 OKT: Statistik terperinci amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan hingga peringkat daerah serta memastikan agihan sumber yang berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat pasti memerlukan keputusan yang dibuat dengan betul serta berasaskan bukti dan fakta yang menyeluruh dan mencukupi.

Menurut beliau, dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

Mustapa Mohamed
MUSTAPA MOHAMED

“Dengan adanya My Local Stats ini, penilaian terhadap sesuatu kawasan dapat dibuat dan seterusnya melihat jurang pembangunan yang berlaku antara daerah.

“Saya yakin dengan penghasilan statistik ini, pelbagai kajian di peringkat daerah dapat dibuat bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran penerbitan My Local Stats 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Penerbitan tersebut adalah bersempena dengan Hari Statistik Negara 2020 yang akan disambut pada 20 Oktober 2020, serentak dengan Hari Statistik Sedunia.

Mustapa menambah, penghasilan indeks di peringkat daerah pentadbiran juga dapat dilaksanakan berdasarkan statistik yang tersedia.

Sehubungan itu, beliau menambah, penerbitan My Local Stats adalah sangat penting untuk memberi gambaran sebenar mengenai situasi semasa Malaysia di peringkat tempatan.

“Penerbitan ini akan menjadi sumber rujukan dan asas penting dalam menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat dalam merealisasikan hasrat kerajaan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.