Rakyat mesti didahulukan, bukan kepentingan diri

925

19 OKT: Ahli-Ahli politik di negara ini dilihat lebih meletakkan kepentingan peribadi sebagai matlamat politik mereka yang mana perkara itu langsung tidak mencerminkan ciri-ciri seorang pemimpin.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau sudah muak dengan ahli politik yang mementingkan agenda peribadi daripada mengetengahkan agenda rakyat.

“Secara peribadi, saya bosan dengan ahli politik dengan agenda peribadi. Nampaknya bagi saya, ahli politik sudah tidak ‘walk the talk’.

“Kelakuan mementingkan diri seperti itu memalukan. Sekarang, rakyat mesti dan harus didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azalina yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata demikian selepas melihat situasi politik semasa negara yang tidak menentu menyebabkan rakyat panik dengan tindakan ahli politik.

Dalam pada itu, Azalina memberitahu sebagai ahli politik, setiap ahli Parlimen perlu memainkan peranan penting bagi mewakili orang ramai dalam membela nasib rakyat.

“Ahli Parlimen dipangil Yang Berhormat (YB) adalah dengan alasan tertentu. Ia berasal dari perkataan Perancis Honorabills, iaitu layak dihormati.

“Untuk diberikan gelaran sedemikian, ia datang dengan tugas dan tanggungjawab. Jangan kita lupa,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, ahli politik tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan tugas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai ahli Parlimen, saya menentang penyalahgunaan prosiding Parlimen untuk ahli Parlimen yang sikap tidak menentu terutamanya semasa kita menghadapi salah ancaman terbesar kita iaitu penularan Covid-19.

“Sekiranya pertikaian dalam parti politik, tuduh menuduh, saya mencadangkan agar ahli Parlimen melakukannya dalam parti politik mereka sendiri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.