PKPD Penjara Kepayan, Kuarters Kg Matambai

221

19 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Penjara Kepayan dan Kuarters Anggota Pegawai di Kampung Matambai, Kota Kinabalu, Sabah mulai esok hingga 2 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan mengawal penularan di penjara serta kawasan kuarters kakitangan.

Menurut beliau, pelaksanaan PKPD itu membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 dilaksanakan.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Jumlah keseluruhan individu terlibat adalah seramai 3,511 orang merangkumi 2,914 banduan dan 597 staf penjara.

“Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri Sabah yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 649 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau menambah, daripada jumlah itu, seramai 606 individu telah dikompaun manakala 43 orang lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (213), penjarakan fizikal (151), aktiviti pusat hiburan (75), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (67) dan kesalahan-kesalahan lain (143),” katanya.

Berhubung Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas empat kenderaan darat.

“Daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 26 PATI di Kolam Udang Agriculture, Johor Bahru, Johor,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.