Patuhi SOP, hargailah pengorbanan para petugas

176

19 OKT: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang kini telah pulih daripada COVID-19 mendedahkan banyak pengajaran dan pengalaman yang dilalui ketika menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 23 September lalu.

Justeru, Shahril menyeru orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan cara ini juga menunjukkan rakyat Malaysia menghargai jasa serta pengorbanan pasukan hadapan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Shahril Hamdan

“Jutaan terima kasih kepada barisan hadapan di seluruh negara terutamanya pasukan perubatan di HSB.

“Saya menyaksikan sendiri betapa profesional dan komitednya mereka. Merekalah yang terbaik antara kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, baru-baru ini.

Terdahulu, Shahril disahkan pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan keluar dari HSB pada 7 Oktober lalu selepas menjalani kuarantin di hospital berkenaan sejak disahkan positif pada 23 September lalu

Dalam pada itu, Shahril memberitahu, pengalaman ini memberinya keinsafan dan kini akan lebih meluangkan masa bersama keluarganya.

Beliau berkata, doktor menasihatkannya supaya banyak berehat di rumah selain memantau keadaan fizikalnya dari semasa ke semasa.

“Akan mengambil masa sedikit melepaskan rindu kepada keluarga terutamanya anak tunggal saya yang masih kecil. Sewaktu dalam wad pun itulah yang memenuhi minda.

“Saya agak “privasi dalam urusan peribadi dan jarang mahu tayang perkara-perkara peribadi tetapi yang mengenali saya tahu betapa saya mementingkan keluarga dan tanggungjawab sebagai bapa.

“Antara keinsafan baru dari pengalaman ini adalah peringatan bahawasanya sejauh mana pun kita maju dalam kerjaya tiada erti jika tanggungjawab asas tidak cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Shahril turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan memberi semangat kepadanya sebelum ini.

Beliau disahkan positif selepas pulang dari Sabah baru-baru ini selepas membantu kempen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, tiada simptom ketara pada dirinya, hanya berasa sedikit penat namun selepas keputusan diperoleh disahkan beliau positif COVID-19.

Beliau banyak membantu jentera pilihan raya di Parlimen Sipitang, dan kesemua kontak rapatnya telah melalui ujian saringan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.