Mesyuarat MN tumpu perkukuh penyatuan parti Melayu

187

19 OKT: Usaha memperkukuhkan lagi penyatuan parti-parti Melayu menjadi agenda utama Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) yang akan disertai pucuk pimpinan UMNO dan PAS malam ini.

Setiausaha Agung Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO dan rakan kerjasamanya akan memastikan hubungan antara mereka akan lebih kuat dan padu.

“Dengan izin Allah, UMNO dan parti -arti sahabat bakal muncul lebih padu lebih kuat selepas ini.

“Kita berusaha siang dan malam tanpa putus asa kukuhkan solidariti. Sikap matang para pimpinan mengkagumkan,” katanya dalam ciapan Twitter miliknya, hari ini.

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA

Difahamkan, mesyuarat tersebut akan turut membincangkan hala tuju kerjasama antara kedua-dua parti dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mesyuarat Biro Politik UMNO pada 13 Oktober lalu memutuskan bahawa parti itu akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu MN agar MN didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MN akan diadakan hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadualkan menghadiri mesyuarat tersebut.

Ahmad turut menyertai pertemuan antara Ahmad Zahid dan Abdul Hadi pada Jumaat lalu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.