Gangguan air: Sultan Selangor amat dukacita

209

19 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat dukacita dengan nasib rakyat negeri itu yang terpaksa pula berdepan dengan masalah gangguan bekalan air di saat semua pihak masih bergelut dengan wabak COVID-19.

Dalam satu kenyataan akhbar, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda telah banyak kali menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri berhubung isu bekalan air semenjak tahun 2010 lagi, supaya masalah ini jangan dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

“Surat baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bertarikh 8 September 2020.

“Dalam surat tersebut, baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang baginda kasihi,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Muhamad Munir memaklumkan, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif COVID-19 di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac 2020.

“Susulan perkembangan terbaharu ini, baginda menyeru rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit COVID-19.

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak dan hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam.

“Baginda meminta individu-individu yang pernah pergi ke lokasi-lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah, hendaklah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing.

“Tegas baginda lagi, fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” kata kenyataan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.