Awasi politik lempar batu sembunyi tangan

182

19 OKT: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat supaya tidak terpedaya dengan permainan politik lempar batu sembunyi tangan yang sedang dimainkan pemimpin tertentu.

Beliau berkata, setelah menimbulkan pergolakan politik yang mencelarukan rakyat Malaysia sekarang, pihak yang melempar batu itu tadi akan cuba memperlihatkan mereka adalah mangsa.

“Isu menangani COVID-19 yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Tiba-tiba didominasi pula dengan isu pembubaran Kerajaan Negeri Sabah yang mewajibkan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN). Lihat dan renung siapa yang bertindak membubarnya.

“Kemudian rakyat digemparkan pula dengan surat cinta untuk menjadi Perdana Menteri yang dihantar kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong secara tidak lengkap tanpa senarai nama yang menyokong dan mendukung, supaya Tuanku diberikan ‘kerja tambahan’ untuk mengesahkan senarai nama yang tiada, kononnya atas nama strategi,” katanya menerusi Facebook beliau.

Kata Abdul Hadi, seterusnya dihantar usul bagi mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang sedang bertugas supaya memanas dan menjolok kerusinya ketika melaksanakan tugas menghadapi COVID-19 yang menimpa rakyat dan sedang melanda seluruh dunia.

“Pepatah Melayu menyebut membaling batu sembunyi tangan. Pepatah Arab menegaskan. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang berpura-pura mengadu dizalimi. Dia yang memukul saya, dia pula yang berpura-pura menangis dipukul.”

“Saya yang bimbang dengan apa yang berlaku, Alhamdulillah masih mengenali watak mereka yang terlibat dengan taktik melempar batu sembunyi tangan sehingga menimbulkan isu yang berlaku hari ini.

“Saya mengenali mereka yang menulis surat cinta yang membara dan membaca wajah sebenar media upahan yang memainkan peranan melariskannya bagi mengelirukan rakyat supaya sentiasa tertipu,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

Tegas beliau, rakyat tidak patut dicelarukan dengan pergolakan politik terutama ketika negara sedang berdepan krisis kesihatan yang belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Katanya, dalam keadaan getir sekarang, sepatutnya orang politik tidak sibuk berpolitik, sebaliknya mengutamakan perkara yang perlu diutamakan.

Sepatutnya, beliau menegaskan, ‘drama’ politik negara tidak perlu ‘dimainkan’ sepanjang masa, tetapi ‘dipertontonkan’ dengan teliti dan berhemat serta kena pada masanya.

“Rakyat yang menderita dalam menghadapi pandemik COVID-19, dicelarukan dengan pergolakan politik yang tidak patut diutamakan, apatah lagi diperbanyakkan sehingga terpaksa ‘muntah’.

“Masing-masing saling menuduh dan mengaku paling membela rakyat,” katanya.

Abdul Hadi juga meminta rakyat menilai dan membuat pertimbangan dengan adil serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat wajib menjadi hakim yang adil dalam membuat pertimbangan dengan akal yang sihat.

“Jangan sesekali dipengaruhi oleh sesiapa pun, khususnya media upahan yang berniaga untuk mendapatkan habuan lumayan daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan demi mengisi perut sehingga menggunakan konsep matlamat menghalalkan segala cara.

“Ikutilah senario politik yang berlaku dengan teliti dan berhemat supaya berlaku adil, khususnya terhadap diri sendiri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.