2 warga asing suspek pecah rumah mati ditembak

191

19 OKT: Polis menembak mati dua lelaki warga asing dalam kejadian berbalas tembakan dekat Kampung Charuk Puting, dekat Temerloh, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an dipercayai menjadi dalang dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah dan curi dalam bangunan sejak tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, kejayaan operasi itu hasil kerjasama JSJ Pahang dan Terengganu menerusi risikan serta maklumat awam.

“Pegawai dan anggota dari JSJ Pahang dan Terengganu melakukan operasi bersama hasil maklumat awam dan kira-kira jam 5 pagi tadi, mereka terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Jerantut-Temerloh.

“Sebaik pegawai dan anggota kami memperkenalkan diri, suspek bertindak memecut kenderaan itu dan cuba melanggar kenderaan dinaiki pasukan polis.

“Kenderaan suspek kemudiannya berjaya dipintas sebelum suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pegawai dan anggota kami.

“Mereka terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan akhirnya kedua-dua suspek terkena tembakan serta disahkan maut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Pahang hari ini.

Mengulas lanjut, Othman berkata, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan turut cedera ringan apabila terkena tembakan dilepaskan suspek.

Bagaimanapun, beliau berkata, pegawai berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dan dirujuk ke hospital berhampiran bagi pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah dan curi dalam bangunan di sekitar Pahang dan Terengganu sejak tahun lalu, dengan nilai anggaran kerugian kira-kira RM300,000.

“Siasatan masih diteruskan dan kita tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai rangkaian lain serta terbabit dalam jenayah sama di negeri berhampiran.

“Kereta Toyota Camry digunakan suspek bukan kenderaan curi dan hasil semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang pemilik warga asing,” katanya.

Othman berkata, polis juga menemui pelbagai peralatan pecah rumah dan bangunan, termasuk sepucuk senjata api jenis revolver Smith & Wesson .38 bersama empat kelongsong peluru dan satu peluru, sebilah parang panjang, dua unit pemotong besi dan pengumpil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.