Rundingan kuota haji 2021 dimulakan

50

18 OKT: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengesahkan Malaysia dan Arab Saudi sudah memulakan rundingan awal mengenai kuota haji tahun 2021.

Hishammuddin berkata, Putrajaya dan Riyadh juga turut membincangkan mengenai jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan mengerjakan umrah serta kaedah pelaksanaan haji dan umrah sekiranya ibadah berkenaan boleh dilaksanakan sebelum vaksin Covid-19 ditemui.

Ahli Parlimen Semberong itu berkata langkah itu perlu selepas Arab Saudi dijangka melonggarkan penutupan sempadan bermula 1 Januari 2021.

“Keputusan ini juga menyentuh kemungkinan membenarkan umat Islam dari luar Arab Saudi untuk menunaikan haji dan umrah dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

“Biarpun belum ada keputusan muktamad berhubung perihal haji dan umrah serta kaedah pelaksanaannya oleh Kerajaan Arab Saudi, namun Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pendirian sama,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

mekah

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, perbincangan dan perancangan dibuat awal menerusi Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi berkenaan penting supaya kedua-dua negara lebih bersedia apabila ia hendak dilaksanakan kelak.

Hishammuddin berkata, Kerajaan Malaysia amat menghargai komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk bersama-sama menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi demi memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang selepas era pasca COVID-19.

“Malaysia percaya, penubuhan Jawatankuasa ini berupaya membawa manfaat kepada Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Malaysia akan memberikan sepenuh komitmen demi memastikan setiap perancangan menerusi jawatankuasa ini dapat dilaksanakan sebaiknya. Perkembangan berhubung Jawatankuasa ini akan saya dan Wisma Putra maklumkan dari masa ke masa,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi menyerlahkan keakraban hubungan dua hala, persaudaraan dan penghormatan terhadap Malaysia apabila Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud bermurah hati menyumbangkan peralatan perubatan kepada Malaysia demi membantu Kerajaan Malaysia memerangi pandemik Covid-19.

Malah Hishammuddin berkata setakat ini Arab Saudi adalah negara penyumbang bantuan COVID-19 terbesar kepada Malaysia dengan sumbangan lebih 7 juta unit peralatan perubatan.

Hishammudin berkata kesemua peralatan perubatan ini telah disalurkan melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre terus kepada Kerajaan Malaysia.

“Hari ini, sukacitanya saya ingin maklumkan bahawa keakraban hubungan Malaysia dan Arab Saudi bakal membawa kepada satu lagi bentuk kerjasama penting. Kedua -dua negara telah mencapai persetujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi demi memperkukuh usahasama merangkumi pelbagai bidang yang menyentuh kepentingan bersama.

“Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi Malaysia-Arab Saudi ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara iaitu Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud, Menteri Luar Negeri Kerajaan Arab Saudi dan saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammudin berkata Malaysia dan Arab Saudi juga senada untuk terus melipatgandakan usaha memerangi wabak Covid-19, tumpuan mesti mula diberikan terhadap kerjasama era pasca pandemik yang mana ia akan menjadi fokus Jawatankuasa ini.

Hishammudin berkata ini penting, kerana Covid-19 bukan sahaja memberi impak daripada sudut kesihatan serta keselamatan rakyat, tetapi juga mengganggu gugat ekonomi, merencatkan rantaian bekalan dan makanan serta perkhidmatan sosial.

“Justeru, melalui penubuhan Jawatankuasa ini, kedua-dua negara bakal bekerjasama rapat dalam usaha pertama memulihkan semula ekonomi negara masing-masing berikutan kemerosotan ekonomi global.

“Kedua-dua negara juga bersetuju untuk menstabilkan kembali rantaian bekalan dan makanan yang tertanggu antara keduadua negara serta membantu rakyat masing-masing yang telah terkesan akibat krisis Covid-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.