Rakyat, pimpinan politik perlu kekal kerajaan sedia ada

39

18 OKT: Semua pemimpin dan penyokong parti politik tidak kira dari blok pro kerajaan mahu pun pembangkang perlu mengekalkan kerajaan dan Perdana Menteri sedia ada sehingga negara berjaya mengharungi pandemik wabak COVID-19 dan ekonomi global pulih sepenuhnya.

Penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata beliau berharap semua pihak akur dengan Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah supaya semua rakyat dan pemimpin politik memberikan tumpuan kepada usaha memutuskan rantaian COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Dr Zainal kling

Justeru, Zainal berkata, seluruh rakyat Malaysia dan pemimpin tanpa mengira fahaman politik perlulah bersatu hati dan bekerjasama dengan kerajaan semasa untuk menangani masalah kemerosotan ekonomi dan memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.

“Apabila Malaysia berjaya menangani isu kemerosotan ekonomi, penggangguran dan penularan kes COVID-19 sepenuhnya barulah kita boleh fikirkan perkara lain termasuk menukar kerajaan mahu pun menggantikan Perdana Menteri menerusi proses demokrasi dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

“Pada pandangan saya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sedia ada sudah melakukan yang terbaik untuk menangani penularan wabak COVID-19, menjaga kebajikan rakyat dan kesan negatifnya terhadap ekonomi negara.

“Oleh itu bagi saya lebih baik semua warga Malaysia termasuk pemimpin politik berhenti berebut kuasa dan jawatan serta mengekalkan kerajaan sedia ada sehingga masalah COVID-19 dan kegawatan ekonomi negara diselesaikan sepenuhnya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini politik tanah air sekarang.

Mengulas lanjut, Zainal berkata beliau memang menyokong jika kerajaan mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi mengembalikan mandat rakyat dan mewujudkan kerajaan lebih stabil namun bukan sekarang tetapi selepas penularan wabak COVID-19 sudah dapat dihentikan sepenuhnya.

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku semasa dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan pada bulan lalu. Malah kita boleh lihat jumlah kes COVID-19 terutama di Sabah yang semakin meningkat hampir setiap hari selepas PRN berlangsung pada bulan lalu.

“Justeru, pada pandangan saya PRU-15 tidak sesuai diadakan sekarang kerana Malaysia masih lagi dilanda penularan COVID-19 dan ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya.

“Jadi saya berharap semua penyokong dan pemimpin politik mengekang nafsu masing-masing untuk menukarkan kerajaan dan Perdana Menteri dengan menerima mereka seadanya.

“Saya menyokong Perdana Menteri sekarang kerana beliau menunjukkan etika yang tinggi dan kurang bermain politik, sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesihatan rakyat tanpa mengira fahaman politik selain memikirkan cara untuk memperbaiki ekonomi serta kehidupan rakyat biasa ke arah lebih baik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.