PRN tetap perlu diadakan bila DUN berakhir

72

18 OKT: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada tamat Jun tahun hadapan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, walau ada yang mencadangkan agar PRN tidak diadakan sewaktu pandemik COVID-19 namun DUN perlu dibubarkan apabila tempoh masanya tamat.

“Kita perlu menyerahkan kepada rakyat (untuk mandat baru) dan kita mempunyai kerajaan yang bagus untuk menguruskan COVID-19 (ketika proses pilihan raya),” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian ketika menutup Konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 2020 hari ini.

Turut hadir, Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Kehormat SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Timbalan Presiden SUPP, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Naib Presiden SUPP, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting dan Bendahari SUPP, Datuk Francis Harden Hollis.

Kata beliau, pandemik COVID-19 yang sedang melanda ketika ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri apabila tiba masanya.

Beliau berkata, GPS mempunyai dasar jelas dan percaya kepada kuasa rakyat dalam menentukan kerajaan selaras dengan amalan demokrasi.

“Kita mesti mengadakan PRN kerana dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang, tempoh DUN Sarawak akan tamat dan bermakna kerajaan sekarang (GPS) tidak ada lagi mandat untuk memerintah.

“Justeru, kita harus menyerahkan semula kepada kuasa rakyat untuk menentukan kerajaan seterusnya dan saya amat yakin GPS akan terus membentuk kerajaan,”

Dalam pada itu, Abang Johari berkara, Sarawak perlu terus diperintah oleh orang Sarawak dan bukannya orang atau parti politik dari luar Sarawak.

Sebagai pengerusi GPS, beliau mahukan kesemua parti komponen untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memenangi Pilihan Raya Negeri ke-12, dan menambah bahawa pilihan raya yang akan datang akan membuatkan mereka lebih kuat untuk membina masa hadapan.

“Tiada negeri yang boleh berjaya jika rakyatnya berpecah dan tidak mempunyai keupayaan untuk memerintah dan membangunkan negeri, tetapi Alhamdulillah, saya mendapat kerjasama daripada kesemua parti komponen,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.