PKPD Penjara Alor Setar dilanjut

19

18 OKT: Kerajaan hari ini memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Alor Setar, Kedah, selama 14 hari lagi sehingga 1 November 2020.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Alor Setar bermula 5 Oktober sehingga hari ini 18 Oktober 2020.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD berkenaan adalah bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di dalam kawasan terbabit serta
membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Sehingga 17 Oktober 2020, terdapat 1,178 kes positif COVID-19 termasuk 1,137 tahanan dan 41 kakitangan penjara sudah direkodkan di kawasan terbabit.

“Mengambil kira masih terdapat kes positif baharu dan atas permohonan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka pelaksanaan PKPD di Penjara Alor Setar, akan dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 19 Oktober 2020 sehingga 1 November 2020.

“Pelanjutan ini bagi membolehkan pelaksanaan pemantauan dan saringan berterusan dalam usaha memastikan rantaian COVID-19
diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Alor Setar terutamanya di kalangan kakitangan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Ismail Sabri berkata Pasukan Petugas Khas Pematuhan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 661 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP hasil 44,410 pemeriksaan dan pemantauan terhadap pelbagai premis termasuk pasar raya, kilang, restoran, pasar awam/ tani, rumah ibadah dan tempat riadah di seluruh negara.

Daripada 661 individu berkenaan, seramai 632 individu telah dikompaun; 27 individu direman dan 2 dijamin kerana melakukan pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (223); tiada penjarakan fizikal (191); gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (112); langgar syarat/perintah di kawasan PKPB (75); aktiviti di pusat hiburan (45) dan lain-lain (15)

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengesahkan dari 24 Julai sehingga 17 Oktober 2020, seramai 50,254 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,151 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 69 Hotel dan 15 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Seramai 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 41,722 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke
rumah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.