Model perniagaan baru akan bawa Felda kembali untung

17

18 OKT: Felda yang dibelenggu kerugian besar dan pembubaran beberapa anak syarikatnya yakin dapat kembali mencatatkan keuntungan pada 2022 berlandaskan pelaksanaan model perniagaan baharu.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, susulan pembentangan kertas putih mengenai Felda di Parlimen pada 10 April, 2019 pasukan petugas diketuai Tan Sri Abdul Wahid Omar dibentuk untuk mencari jalan memperkemaskan lagi kertas putih itu bagi tujuan menangani pelbagai isu yang melanda Felda.

“Kita telah mengenal pasti usaha untuk maju ke hadapan dengan memahami di mana kedudukan Felda pada masa ini dan masa lepas, malah telah menetapkan model perniagaan baharu dalam usaha menjadikan agensi ini lebih mampan, menguntungkan dan berdikari.

“Pasukan petugas juga telah mengesyorkan penstrukturan semula kewangan, bagaimana sistem pengurusan dapat ditingkatkan yang meliputi pendigitalan sistem kewangan, mengubah pemikiran peneroka, mendorong mereka meraih pendapatan tinggi dan juga langkah pengurangan kos,” katanya kepada Bernama.

Mengenai model perniagaan baharu, beliau berkata Felda yakin model perniagaan yang tepat untuk agensi itu melangkah maju adalah dengan mempunyai rantaian bekalan lengkap dari ladang, kilang hingga ke peringkat hiliran.

“Sebelum FGV Holdings Bhd disenaraikan di Bursa Malaysia, kita sudah memiliki kilang sendiri, dengan Felda pada masa itu mencatatkan keuntungan lebih RM1 bilion, dan pada 2011 ia mencatatkan keuntungan RM1.85 bilion.

“Bagaimanapun selepas penyenaraian FGV Holdings Bhd pada Jun 2012, keuntungan Felda jelas menyusut kerana pulangan daripada pelaburan FGV tidak sepadan dengan apa yang diharapkan daripada mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Besut.

FGV disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun, 2012 pada harga RM4.45 sesaham, menjadikannya Tawaran Awam Awal (IPO) edua terbesar di dunia selepas Facebook, mengumpul kira-kira RM10.5 bilion.

Menurut kertas putih berkenaan, Felda merekodkan keuntungan bersih di antara RM200 juta dengan RM1.1 bilion setiap tahun bagi tempoh 2007 hingga 2011 berbanding kerugian bersih RM4.9 bilion yang dicatatkan oleh syarikat utama perladangan yang bermasalah itu pada 2017.

Mengikut Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) di antara Felda dengan FGV, Felda seharusnya menerima pembayaran sebanyak RM248 juta setahun dan perkongsian keuntungan 15 peratus untuk pajakan tanah komersialnya selama 99 tahun.

Idris berkata bagi mencapai matlamat mengembalikan Felda kepada keuntungan, agensi itu mahu mengambil semula tanah milik Felda seluas 350,000 hektar yang dipajakkan kepada FGV menerusi LLA tersebut.

Hasrat itu telah dibincangkan dengan pihak kerajaan dan masih menunggu jawapan, katanya.

“Ketika LLA dibuat ada syarat yang menyatakan bahawa Felda boleh ambil semula tanah itu pada bila-bila masa dengan memberi mereka (FGV) tempoh 18 bulan selepas pemberian notis pengambilan semula tanah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.