Ladang Kontrak pasarkan hasil hingga luar negara

16

18 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggalakkan lebih ramai petani di seluruh negara menyertai program Ladang Kontrak (LK) bagi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan.

Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, melalui program di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu, golongan petani akan memperoleh manfaat dengan dibantu pihak FAMA dan pelbagai agensi di bawah kementerian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, ia bermula dari awal proses penanaman sehingga pemasaran tanaman atau produk mereka ke pasaran domestik serta antarabangsa.

“Pada tahun ini, seramai 3,245 peserta program LK yang berdaftar melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Ladang, di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi Projek Usahawan Ladang Kontrak Negeri Kelantan di Kuala Balah.

Che Abdullah Mat Nawi (tiga dari kiri)

Di samping itu, Che Abdullah turut menggesa golongan petani, penternak dan nelayan untuk sentiasa bersama jabatan berkaitan dalam memastikan bekalan makanan mencukupi selain dapat membantu mereka terus menjana pendapatan terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya, Che Abdullah berkata seramai 20 peserta program ladang kontrak telah mengusahakan tanaman jagung seluas 32 hektar di Tapak Projek Program Tadahan Rahmat Jeli 1.

“Dianggarkan sejumlah 321,000 tongkol jagung dapat dituai sepanjang musim tanaman yang bermula 1 Ogos hingga 4 Okt lepas dan nilai jualan dianggarkan RM193,000,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.