GPS kesal jawatan PM terus jadi rebutan di saat pandemik

122

18 OKT: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kesal apabila masih ada pihak yang mahu mencabar kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika mana wabak COVID-19 menjadi satu ancaman serius kepada rakyat negara ini.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagk pihak GPS, gabungan pemerintah negeri itu telah memberikan sokongan kepada Perdana Menteri supaya wujud kestabilan politik nasional, tetapi nampaknya krisis kepemimpinan tertinggi negara belum berakhir.

“Di tengah pandemik, masih ada yang mahu mencabar Perdana Menteri. Seluruh negara berada dalam keadaan tidak menentu dan (kesejahteraan) rakyat mesti didahulukan.

“Untuk GPS, rakyat mesti didahulukan, Sarawak First (cogan kata GPS). Kestabilan penting bagi kita, kita mesti mempunyai platform bersama untuk kepentingan negara di tengah-tengah usaha memerangi COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian seperti dipetik dari portal Borneo Post ketika menutup Konvensyen Khas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 2020 di ibu pejabat SUPP hari ini.

Turut hadir, Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Kehormat SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Timbalan Presiden SUPP, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Naib Presiden SUPP, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting dan Bendahari SUPP, Datuk Francis Harden Hollis.

GPS dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP). 

Gabungan empat parti yang memerintah Sarawak itu mempunyai 18 Ahli Parlimen.

Sementara itu, beliau berkata, selepas Sarawak memenangi kes cukai jualan petroleum daripada Petronas, Sarawak di bawah GPS akan melaksanakan hak mereka atas bahan itu di buminya, dalam usaha mempelbagaikan hasil untuk pendapatan tambahan.

Beliau berkata GPS akan sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak dan kestabilan politik dalam usaha membawa negeri ini ke paras pembangunan lebih tinggi dan menjadikannya sebuah negeri maju pada 2030.

“Hasrat kami adalah jelas, iaitu menjadi sebuah negeri membangun di Malaysia pada 2030, tetapi untuk mencapainya, kita perlu membangunkan ekonomi, memperkuatkan kedudukan kewangan dan membangunkan bakat kita (tenaga kerja),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.