871 kes baru, tertinggi pernah dilaporkan

136

18 OKT: Sebanyak 871 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini, lebih dua kes berbanding semalam yang juga rekod tertinggi untuk angka harian virus berkenaan setakat ini.

Pertambahan ini turut menjadikan kes positif COVID-19 sejak dilaporkan awal tahun ini melepasi 20,000 angka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah terus mencatatkan angka tertinggi dengan 702 kes yang bersamaan 80.6 peratus kes baru hari ini.

Katanya, pertambahan ini berikutan aktiviti pengesanan proaktif di lapangan yang turut menyaksikan pertambahan jumlah saringan.

“Kedua tertinggi hari ini ialah Selangor dengan 72 kes termasuk lima kes daripada kluster baru iaitu Otto, diikuti Pulau Pinang dengan 45 kes termasuk lima dari kluster baru, Kluster Alma.

“Perak pula melaporkan 10 kes, Labuan (sembilan), Kedah (sembilan), Kuala Lumpur (tujuh), Sarawak (lima), Negeri Sembilan (tiga), Terengganu (dua) manakala Johor dan Melaka masing-masing mencatatkan satu kes.

“Hari ini juga melaporkan kes sembuh tertinggi dengan 701 kes. Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes sembuh adalah sebanyak 13,262 kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 86 individu positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 26 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tujuh kes kematian berkaitan COVID-19 dan ini menjadikan kes kumulatif kematian kini berjumlah 187.

“Kesemua tujuh kematian berkenaan dilaporkan di Sabah iaitu di Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan,” jelasnya.

Menurut beliau, sebanyak empat kluster baru dilaporkan iaitu Kluster Bah Layangan di Labuan, Kluster Alma (Pulau Pinang), Kluster Otto (Selangor) dan Kluster pejnara Kepayang (Sabah).

Jelas beliau, hari ini juga menyaksikan lima kes import dan kesemuanya di Selangor melibatkan dua jangkitan dari India, dua dari Nepal dan satu dari Singapura.

Dalam pada itu, katanya, daripada 20,498 kes kumulatif COVID-19 yang dilaporkan setakat ini, 7,439 atau bersamaan 36 peratus adalah dikesan di Sabah.

“Keseluruhannya kerajaan telah menjalankan pengesanan COVID-19 ke atas 251,000 individu di Sabah sebagai satu langkah membendung penularan wabak berkenaan.

“Kadar psoitif di Sabah kini 2.56 peratus,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.