Surat palsu cetus kegemparan politik baharu

120

17 OKT: Kemunculan surat yang kononnya dipersembahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencetuskan kegemparan terbaharu dalam dunia politik tanah air.

Surat bertarikh 11 Oktober 2020 itu menyatakan bahawa Ahmad Zahid, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sejumlah Ahli Parlimen dari UMNO telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lebih menggemparkan, surat berkenaan memaklumkan mereka memberi sokongan penuh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Sebelum itu, negara digemparkan dengan dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu bukan sahaja mengejutkan malah seperti tidak munasabah memandangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengekalkan pendirian tidak menyokong Anwar dan sekutunya termasuk DAP.

Walau bagaimanapun, seorang pegawai kanan Ahmad Zahid iaitu Datuk Dr Ibrahim Yahaya dalam laman Facebook miliknya hari ini mengesahkan bahawa surat yang tular itu sebenarnya palsu.

“Ini kerja fitnah yang berterusan,” katanya secara ringkas.

Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan surat tersebut sebagai andaian dan spekulasi pihak tertentu.

Hakikat bahawa surat tersebut palsu diperkukuhkan dengan penafian oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa Pejabat Presiden UMNO tidak pernah mengeluarkan surat tersebut.

Timbul persoalan sama ada pihak yang menyebarkan surat palsu itu bertujuan mengeruhkan hubungan antara UMNO dengan Muhyiddin.

Turut tular hari ini adalah surat yang didakwa dipersembahkan oleh Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu.

Sebelum surat palsu itu tular, isu-isu lain yang menambah kehangatan suhu politik Malaysia termasuk desas-desus pertemuan antara Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Tengku Razaleigh juga disahkan telah menghadap Al-Sultan Abdullah pada hari yang sama dengan Anwar.

Rakyat turut dikejutkan dengan keputusan Biro Politik UMNO untuk mempertimbangkan sokongan parti itu terhadap kerajaan PN.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen pembangkan termasuk Dr Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar telah memgemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.