Rakyat meluat kemelut politik tak berkesudahan

85

17 OKT: Kemelut politik berpanjangan dan tidak berkesudahan akibat komplot menjatuhkan kerajaan sedia ada menyebabkan rakyat semakin meluat.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, rakyat menuntut segala kemelut politik yang berlaku sekarang ditamatkan segera.

“Kepercayaan rakyat kepada pemimpin politik dan parti-parti politik berada pada tahap terendah ketika ini.

“Rakyat sedang memerhati dan menilai tindak tanduk kita dan PRU-15 menjadi medan untuk rakyat menolak mana-mana pemimpin atau parti politik yang tidak meletakkan kepentingan nyawa dan kesihatan rakyat melebihi kepentingan politik masing-masing dalam berhadapan cabaran besar pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN
MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN

Situasi politik di negara ini kembali panas apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam komplot menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam sidang media pada 23 September lalu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menasihatkan ahli-ahli politik agar bermuhasabah diri supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika berhadapan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

Mohd Rafiq menambah, semua pihak tidak mengira sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang haruslah mengetepikan segala perbezaan dan mencari titik persamaan untuk duduk semeja bagi menghadapi saat-saat yang begitu sukar bagi negara kita

“Semua ahli politik wajar menjunjung kasih, taat dan patuh terhadap nasihat Seri Paduka untuk bersama bermuhasabah agar negara tidak diheret ke dalam kancah politik yang tidak menentu, ketika negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

Beliau juga berharap agar semua ahli politik tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau melakukan tindakan yang boleg mencetuskan ketidakstabilan politik, kerajaan dan ekonomi serta memberi kesan buruk kepada rakyat apatah lagi dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.