Polis sahkan Anwar disiasat kes liwat

2,450

17 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan yang dijalankan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membabitkan kes liwat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, keterangan Ahli Parlimen Port Dickson itu diambil berikutan akuan bersumpah (SD) oleh individu bernama Aidil Azim Abu Adam.

Walau bagaimanapun, beliau menafikan siasatan kes tersebut dan lima kes lain termasuk penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa meyokong Anwar dalam portal MH Daily bermotif politik.

Huzir
HUZIR MOHAMED

“Antara lain adalah isu kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah jatuh kerana kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Turut diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), video ucapan mendakwa kedai judi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada di Malaysia serta sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Huzir memberitahu, proses rakaman percakapan Anwar itu turut dihadiri peguamnya, Ram Karpal Singh dan Setiausaha Politik, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Setakat ini, sebanyak 113 laporan polis diterima termasuk aduan daripada kalangan Ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan.

“Dakwaan itu tersebar luas di media massa sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat. Penyebaran kenyataan dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam supaya terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam,” katanya.

Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya menggesa semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada PDRM menjalankan siasatan secara telus dan adil, malah tindakan tegas akan diambil kepada individu sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam” katanya.

Semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang ketika ditemui media di luar pekarangan Bukit Aman mendakwa, enam kertas siasatan yang dibuka polis terhadapnya adalah bermotifkan politik. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.