869 positif COVID-19 hari ini, jumlah tertinggi dikesan

145

17 OKT: Sebanyak 869 kes baharu COVID-19 dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah itu yang tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia sejak wabak itu dikesan awal tahun ini.

Pada masa yang sama, sebanyak empat kematian akibat wabak tersebut dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 180 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 19,627 kes.

covid

Menurut beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 6,886 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 451 kes (51.9 peratus).

“Manakala, negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 20.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Selangor mencatat 159 kes, Kuala Lumpur 15 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua kes.

“Kesemua negeri-negeri ini adalah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu, secara keseluruhan, sebanyak 224 kes (25.8 peratus) pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai.

Beliau menambah, kes-kes tersebut sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

“Daripada 869 kes penularan di dalam negara, 745 kes adalah warganegara Malaysia dan 124 kes adalah bukan warganegara,” jelasnya.

Dr Noor Hisham menyatakan, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, empat kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 441 kes.

covid

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 302 kes pulih COVID-19 hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 12,561 kes (64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.