3 aktiviti sukan boleh operasi semasa PKPB

143

17 OKT: Hanya gimnasium, aktiviti bola sepak komersial dan pusat futsal antara aktiviti berkaitan industri sukan yang dibenarkan terus beroperasi seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi sukan bola sepak dan futsal, kerajaan hanya membenarkan aktiviti sukan itu diteruskan hanya untuk sesi latihan dan tertakluk lepada 10 peserta pada satu-satu masa.

“Kita telah mendengar rayuan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan padang bola sepak komersial dan pusat futsal dibenarkan untuk latihan sahaja dan bukannya pertandingan.

“Buat aktiviti di gim dibenarkan beroperasi memandangkan aktiviti yang dilakukan bersendirian dan ada penjarakan sosial namun perlu mematuhi SOP yang ketat. Kesemua ini akan berkuatkuasa mulai Isnin, 19 Oktober dan SOP lebih lanjut akan dikeluarkan oleh KBS,” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat rayuan kepada MKN untuk membenarkan aktiviti berkaitan industri sukan dikategorikan di bawah sektor ekonomi.

Ia termasuk membenarkan operasi fasiliti sukan dan reaksi dijalankan dalam tempoh PKPB membabitkan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor,

Sementara itu, bagi menjawab tentang isu empat individu dalam sebuah kereta yang dikompaun oleh pihak polis sehingga tular dalam media sosial, Ismail mengharapkan agar mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan yang memerlukan untuk merentas daerah mendapat kebenaran daripada pihak polis.

“Saya telah mendapat nasihat pihak polis tentang kes di mana empat sekeluarga dikompaun disebabkan hendak keluar berniaga. Justeru itu, polis menasihatkan mana-mana individu terlibat perniagaan seperti ini yang keperluannya perlu melebihi dua orang laporkan pada pihak polis.

“Ini perlu dilakukan bagi mendapat surat kebenaran daripada pihak polis agar tidak timbul akhirnya dikompaun oleh pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera memaklumkan, seramai 467 individu telah ditahan oleh pihak polis kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 460 individu dikompaun manakala enam individu direman dan seorang dijamin

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP tidak memakai pelitup muka (182), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (110), penjarakan fizikal (106), premis beroperasi lebih masa (5) dan lain-lain (64),” jelasnya.

Berhubung Ops benteng, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas dua bot dan dua kenderaan darat.

“Daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 33 PATI di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor,” jelasnya.

Ismail Sabri turut mengumumkan beliau didapati negatif COVID-19 setelah menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sejak 14 hari lalu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.