UMNO perinci syarat baharu kepada PM

1,280

16 OKT: UMNO telah diminta oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghantar surat rasmi berhubung perincian syarat baharu kerjasama dan sokongan parti berkenaan kepada Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permintaan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN itu telah disampaikan oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam.

“Permintaan itu susulan sesi sidang video antara Perdana Menteri, saya selaku Setiausaha Agung UMNO dan Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai wakil rasmi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang Rabu lalu.

“Pada sesi sidang video berkenaan, saya dan Tengku Adnan memperincikan perjanjian atau syarat baharu kepada Perdana Menteri supaya ada penambahbaikan baharu dalam hubungan persefahaman politik antara UMNO dan PN.

“Namun, saya ingin menangguhkan penghantaran surat itu sehingga selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Selasa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Penyampaian Bantuan kepada Mahasiswa/Mahasiswi Parlimen Pontian di Dewan Muafakat Pusat Khidmat Benut, Johor, hari ini.

Terdahulu, UMNO Selasa lalu menyatakan pertimbangan menarik diri dari PN dan akan meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan.

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai perincian syarat baharu diminta UMNO, Ahmad Maslan memberitahu, hanya Presiden UMNO yang boleh mengumumkan perincian berkenaan.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa syarat atau tuntutan baharu UMNO itu sebagai ugutan politik, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, ia terpulang kepada pandangan dan tafsiran masing-masing.

“Saya hanya menyatakan fakta nombor bahawa Umno memiliki jumlah kerusi paling banyak dan seharusnya diberi ruang sewajarnya dalam kerajaan PN.

“Tuntutan baharu ini dibuat selepas UMNO meneliti perkembangan politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (Sabah), baru-baru ini, ” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.