UMNO Perak nafi poster tular gabung DAP

63

16 OKT: UMNO Perak menafikan dakwaan kononnya pihaknya bersetuju untuk bekerjasama dengan DAP bagi membuat usul tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti dalam satu poster yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihaknya menegaskan perkara itu tidak pernah sama sekali timbul memandangkan kerajaan Perak sedang menumpukan usaha membangunkan negeri ini yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut beliau, penyebaran poster tersebut disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu yang mahu merosakkan hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) Perak.

“Poster yang tersebar itu satu tindakan fitnah terhadap UMNO. Kita menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di dalam poster tersebut. Ada pihak yang berniat jahat untuk memburuk-burukkan UMNO di dalam PN kerana semua itu tidak pun berlaku.

“Kita kesan poster ini pagi tadi dan mungkin disebarkan malam tadi. Ini merupakan taktik kotor musuh politik yang tidak senang dengan keadaan UMNO sekarang ini,” katanya hari ini.

Tambahnya, penafian itu juga sudah dibuat menerusi media sosial milik UMNO supaya tiada ahli dan penyokong yang percaya tentang penipuan tersebut.

Terdahulu, satu poster tular menyatakan bahawa UMNO Perak setuju bekerjasama dengan DAP untuk membuat usul tidak percaya terhadap Menteri Besar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Poster tersebut turut menampilkan gambar Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.