UMNO baru buat pertimbangan, bukan tarik diri

84

16 OKT: Memang menjadi kelaziman bagi mana-mana parti politik yang mengadakan kerjasama untuk mengkaji semula kedudukan penyertaan mereka dalam sesebuah gabungan dari semasa ke semasa.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, keputusan UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional (PN) dan memberi syarat baharu kepada kerajaan bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis bukan masalah besar yang tidak boleh diselesaikan.

Malah, menurut beliau, PAS sewaktu menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO dari tahun 1973 ke tahun 1977 dahulu pun pernah melakukan perkara yang sama.

kamarul zaman yusoff
KAMARUL ZAMAN YUSOFF

“Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO ini bukanlah suatu masalah besar yang tidak boleh diselesaikan kerana UMNO hanya membuat pertimbangan untuk menarik diri dan bukannya memutuskan untuk menarik diri dari menyokong PN.

“Ini juga isyarat daripada UMNO bagi memastikan kestabilan politik dan pertumbuham ekonomi dapat diberi jaminan dan dipertingkatkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan bahawa parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN.

UMNO juga akan memberi syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Kamarul Zaman yang juga merupakan Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM memberitahu, keputusan itu juga bukanlah muktamad kerana segala keputusan akan diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan harus dimaklumkan dalam Perhimpunan Agung parti.

“Maka keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO ini tidak mampu untuk membatalkan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini sudah mencapai keputusan,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.