STAR tak bertanding PRK Parlimen Batu Sapi

82

16 OKT: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyusul langkah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Cinta Sabah (PCS) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember ini.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan situasi COVID-19 yang semakin serius dan meningkat di Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Sabah memberitahu, keputusan itu diambil untuk melindungi penyokong parti itu daripada terdedah dengan jangkitan COVID-19.

“Memandangkan keadaan pandemik COVID-19 semakin serius dan meningkat, STAR tidak akan bertanding pada PRK Batu Sapi.

“Walau bagaimanapun, saya tidak akan menghalang mereka (penyokong) untuk keluar mengundi,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Sebelum ini, BN, PH dan PCS turut memberi alasan yang sama ketika mengumumkan tidak bertanding dalam PRK Parlimen Batu Sapi.

Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang mempertimbangkan tentang soal bertanding dalam PRK tersebut.

PRK Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 5 Disember, hari penamaan calon pada 23 November dan hari pengundian awal pada 1 Disember.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.