Saya tak kata saya serah senarai nama kepada Agong

10,179

16 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau sememangnya tidak pernah menyebut telah menyerahkan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menghadap Seri Paduka Selasa lalu.

Berbeza dengan apa yang difahami umum, sebaliknya, Presiden PKR itu berkata, apa yang disebutnya pada sidang akhbar selepas pulang dari Istana Negara ialah menyerahkan ‘surat dan bukti sahih’ sokongan yang diterimanya.

“Rujuk balik kenyataan saya (Selasa lalu). Saya tidak pun menyebut (senarai nama Ahli Parlimen). Tolong jangan kata saya yang cakap perkara itu.

“Dalam kenyataan itu, saya kata saya telah menyerahkan surat dan dokumen (kepada Seri Paduka), saya tidak pun menyebut senarai nama.

“Untuk PKR saya sebut, 38 Ahli Parlimen dari PKR teguh sokongan mereka kepada saya. Saya tidak senaraikan,” katanya dalam sidang akhbar di luar pekarangan Bukit Aman hari ini.

Bila ditanya wartawan masa yang sesuai untuk mempersembahkan senarai nama Ahli Parlimen kepada Istana Negara, Anwar yang juga Ahli Port Dickson berkata:

“Setakat ini belum berbangkit, tapi sedang diuruskan,” jelasnya.

Berdasarkan kenyataan Istana Negara Selasa lalu, Anwar sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau, tanpa mengemukakan sebarang senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.

Susulan tindakan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sesi pertemuan berlangsung hampir 25 minit itu menyaksikan Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat bagi mengukuhkan dakwaan itu.

Sementara itu, mengenai usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri oleh segelintir Ahli Parlimen pembangkang, setakat ini tiada perundingan dengan beliau.

“Sebabnya saya sedang sibuk dengan urusan polis,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.