PKPB Kg Padang Che Mas, Baling

162

16 OKT: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di di Kampung Padang Che Mas, Baling yang akan berkuat kuasa mulai 18 sehingga 31 Oktober.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB akan melibatkan seramai 1,150 penduduk dan 151 buah rumah di kawasan tersebut.

“Sehingga 12 Oktober 2020, seramai 236 individu telah disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin wajib selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes positif COVID-19 telah direkodkan melibatkan lima keluarga dan 100 orang masih menunggu keputusan saringan,” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Beliau memberitahu, dengan pelaksanaan perintah tersebut, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya:

• Tiada pergerakan keluar masuk ke Kampung Padang Che Mas.
• Hanya 2 orang saja wakil yang dibenarkan bagi sebuah rumah untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan.
• Penutupan sekolah dan pusat pengajian termasuk pondok pengajian.
• Semua aktiviti keagamaan di masjid, surau tidak dibenarkan kecuali laungan azan lima waktu dan solat fardu dengan jumlah 6 orang jemaah termasuk muazzin dan imam.
• Rumah ibadat bukan Islam turut tidak dibenarkan.
• Restoran, kedai/gerai makan dan kedai runcit dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 8.00 malam.
• Pembelian makanan digalakkan secara penghantaran dan take away. Walaubagaimanapun, dine in dibenarkan terhad kepada 2 orang atau maksimum 4 orang satu meja dengan pematuhan SOP premis makanan.
• Kenderaan yang membawa barangan yang berkaitan dengan rantaian makanan boleh dibenarkan beroperasi seperti biasa.
• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya, majlis rasmi, keramaian, kenduri dan sebagainya adalah tidak dibenarkan
• Aktiviti perikanan, perladangan, pertanian dan penternakan dibenarkan.

Berhubung solat berjemaah dan solat Jumaat, Ismail Sabri berkata, sidang MKN turut mengambil maklum SOP terkini yang dikuatkuasakan di Selangor dan Wilayah Persekutuan berikutan pelaksanaan PKPB.

Selain itu, beliau menjelaskan, sidang khas MKN turut membenarkan kompleks beli-belah One Utama beroperasi semula pada 17 Oktober ini.

Ismail Sabri berkata, kebenaran itu diberikan dengan mengambil kira langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang telah diambil oleh pihak pengurusan kompleks serta atas nasihat Kementerian Kesihatan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.