KVDT2: MOT enggan ulas elak subjudis

30

16 OKT: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan memberi respons mengenai video yang mendakwa pembatalan projek Landasan Berkembar Lembah Klang atau Klang Valley Double Track Project (KVDT2) akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang besar berikutan kes berkenaan sudah dirujuk ke mahkamah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, justeru, pihaknya tidak memberi sebarang kenyataan mengenai semua perkara yang berkaitan dengan kes tersebut bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemungkinan subjudis.

“Memandangkan pihak DMIA-LTAT telah membawa isu ini ke mahkamah, maka Kerajaan perlu menghormati proses yang sedang berjalan ketika ini.

“Diharapkan tidak timbul spekulasi yang berupaya mempengaruhi proses perundangan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal media menerusi laporan video menyatakan ribuan orang akan kehilangan pekerjaan selepas pihak pemaju projek, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ditamatkan kontraknya oleh MOT.

Menerusi video tersebut, terdapat beberapa pekerja syarikat yang terkejut dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan kerana menamatkan kontrak syarikat bagi pembinaan projek KDVT2.

Mereka meluahkan dengan penamatan kontrak tersebut mereka telah kehilangan pekerjaan dan sukar untuk mencari pekerjaan di era ekonomi merundum akibat pandemikCOVID-19.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu, kerajaan mengulangi pendirian bahawa projek KVDT2 akan diteruskan namun tender untuk projek itu harus dibuka semula.

“Mengenai pelaksanaannya, Kabinet telah bersetuju bahawa langkah terbaik adalah dengan membuka semula tender bagi projek tersebut.

“Ini demi memastikan ketelusan penggunaan dana awam seterusnya memperoleh nilai terbaik bagi rakyat dan ekonomi negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.