Fokus tangani COVID-19, bukan berebut kuasa

57

16 OKT: Ahli-ahli Parlimen sepatutnya mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat di samping tidak mengabaikan kesejahteraan mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMMO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bahawa seluruh pemimpin politik seharusnya memberikan tumpuan kepada usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang sedang melanda negara ini.

Menurut beliau, ini merupakan nasihat yang amat bermakna dan sewajarnya diambil iktibar dan pedoman buat rakyat khususnya ahli-ahli politik.

asyraf wajdi dusuki
ASYRAF WAJDI DUSUKI

“Pergerakan Pemuda UMNO menjunjung kasih dan mendukung penuh titah dan saranan Tuanku.

“Fokus ketika ini seharusnya ditumpukan kepada agenda membantu rakyat yang sedang mendepani pandemik COVID-19

“Dan dampak negatif daripadanya yang memberi kesan langsung terhadap kedudukan ekonomi negara dan kebajikan rakyat yang ketika ini dihimpit rasa susah dan gelisah,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka menasihatkan ahli-ahli politik agar bermuhasabah diri supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika berhadapan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan mereka untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.