Dewan Rakyat terima 30 usul menjelang sidang akan datang

136

16 OKT: Menjelang Sidang Parlimen akan datang yang bermula 2 November ini, sebanyak 30 usul daripada 25 Ahli Dewan Rakyat telah diterima Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat setakat petang ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesemua usul yang dikemukakan akan diteliti dan dipertimbangkan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas Dewan Rakyat akan berlangsung mulai Isnin, 2 November hingga Selasa, 15 Disember 2020 (27 hari).

“Sesi sidang mesyuarat kali ini telah dimaklumkan melalui satu pemberitahuan oleh Setiausaha Dewan Rakyat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat bertarikh 2 Oktober 2020.

“Sehingga petang ini, Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat telah menerima sejumlah 30 usul daripada 25 Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

dewan rakyat

Sejak pagi ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang memaklumkan mereka telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin.

Antara yang berbuat demikian wakil rakyat daripada blok Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Tidak terkecuali berbuat demikian, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) termasuk pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) seperti Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Hari ini merupakan hari terakhir untuk Ahli Parlimen mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum persidangan bermula 2 November ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.