Anwar beri gambaran buruk politik Malaysia

168

16 OKT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi gambaran yang buruk terhadap negara berikutan tindakan semberononya mendakwa sudah menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, situasi itu hanya menunjukkan kepada dunia bahawa pemimpin politik Malaysia terlalu mementingkan agenda politik peribadi mereka.

“Ia juga menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu bagi rakyat pada masa seluruh negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang semakin teruk.

“Imej antarabangsa Malaysia semakin terhakis dari hari ke hari,” katanya dalam satu kenyataan.

TIONG KING SING
TIONG KING SING

Selasa lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa kononnya beliau telah beroleh sokongan majoriti daripada 120 Ahli Parlimen dalam komplotnya bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga mengesahkan telah mempersembahkan dokumen sahih mengenai ‘majoriti kukuh dan meyakinkan’ Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada hari yang sama.

Namun, Istana Negara mengesahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai nama Ahli-ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaan beliau mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan dalam pertemuan selama 25 minit pagi itu, Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

King Sing menegaskan, semua ahli politik di negara ini, sama ada ada dari parti kerajaan atau pembangkang, sepatutnya meletakkan rakyat mengatasi cita-cita dan kepentingan peribadi mereka.

Beliau menambah, pelbagai kelompok politik kini bersaing untuk merebut kuasa, dengan masing-masing mendakwa mereka mempunyai sokongan majoriti sehingga mengabaikan situasi semasa COVID-19.

Ahli Parlimen Bintulu itu turut meminta anggota dalam kerajaan yang memerintah sekarang agar bersatu dan sekiranya ada perselisihan atau keraguan, perkara-perkara ini harus dibincangkan dalam semangat saling bekerjasama dan bukannya ditangani melalui media.

“Biarkan masyarakat antarabangsa mendapatkan kembali kepercayaan terhadap negara kita supaya para pelabur yakin dapat membuat pilihan yang tepat, dan kita dapat menarik pelaburan asing yang diperlukan untuk mencergaskan kembali ekonomi,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.