Ahli politik perlu akur titah Agong supaya muhasabah

41

16 OKT: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang menasihatkan ahli politik bermuhasabah diri supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu adalah tepat pada masanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata beliau memang mengalu-alukan dan menyokong penuh titah Al-Sultan Abdullah berkenaan kerana seluruh pemimpin politik dan rakyat Malaysia seharusnya memberikan tumpuan kepada usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang sedang melanda negara ini.

“Sesungguhnya titah Seri Paduka Tuanku mengingatkan semua pemimpin supaya memberikan tumpuan bagi mengatasi masalah dihadapi oleh rakyat dan COVID-19 bukan perebutan kuasa dan kerenah politik yang masih belum reda sejak dari Mei 2018 sehingga sekarang.

“Titah Seri Paduka Tuanku amat kena pada masanya jika tidak rakyat tidak lagi percaya pada sistem demokrasi yang diasaskan sejak 1955,” kata Ahli Parlimen Mersing itu dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah, menasihatkan ahli-ahli politik agar bermuhasabah diri supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika berhadapan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menitahkan mereka untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, nasihat Seri Paduka itu adalah seperti titah baginda kepada Ahli-ahli Parlimen ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Mei lalu.

Ketua Umum Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, pula menegaskan semua ahli politik sama ada pro pembangkang mahu pun kerajaan wajar mentaati titah Yang di-Pertuan Agong supaya mereka bermuhasabah diri.

pandikar

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata, seharusnya wabak COVID-19 berkenaan dijadikan oleh ahli politik sebagai pemangkin untuk menyatukan fikiran dan tenaga untuk menagani kemudaratan yang diakibatkan oleh wabak ini.

“Ini adalah kerana, pergeseran pendapat diantara ahli-ahli politik berhubung dengan mana-mana isu boleh dikesampingkan buat sementara waktu sehingga wabak COVID-19 dapat ditangani.

“Tindakan sedemikian tidak akan meragut nyawa atau menjejaskan kesihatan ahli-ahli politik yang berkenaan.

“Di sebaliknya, meremehkan penularan wabak COVID-19, pasti akan meragut banyak nyawa rakyat yang tidakpun memahami isu-isu politik yang sedang berlegar di kepala ahli-ahli yang menjadi punca pergeseran,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.