PKPB: Solat Jumaat dibenar di WP tak lebih 50 jemaah

109

15 OKT: Semua masjid, surau dan surau Jumaat di Kuala Lumpur dan Putrajaya dibenarkan mendirikan solat Jumaat serta solat berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan bilangan jemaah yang dihadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu diputuskan selepas berbincang bersama Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebelum dipersembahkan serta diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, katanya, bilangan jemaah adalah terhad mengikut keluasan.

“Solat Jumaat tidak melebihi 50 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Solat fardu pula tidak melebihi 20 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli berkata, kehadiran jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian.

“Saya mengharapkan JAWI dapat memastikan semua tatacara prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan jumlah individu yang dibenarkan untuk mendirikan solat fardu berjemaah di negeri itu adalah tidak melebihi enam orang sepanjang tempoh PKPB.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jumlah itu termasuk muazzin dan imam yang mengetuai solat fardu berjemaah di setiap masjid atau surau terlibat.

“Adalah diingatkan bahawa Pentadbir Masjid dan Surau boleh menjadualkan mana-mana pegawai atau ahli jawatankuasa untuk bertugas dan ahli kariah tempatan terpilih untuk hadir berjemaah.

“Semua pihak yang hadir hendaklah mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh JAIS,” katanya menerusi satu surat pemakluman kepada jawatankuasa masjid dan surau seluruh negeri ini, hari ini.

Sebelum ini, JAIS mengumumkan akan menangguhkan solat Jumaat manakala solat lima waktu berjemaah hanya boleh dihadiri tiga individu dalam tempoh PKPB ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.