Pasaran buruh Malaysia mula pulih

12

15 OKT: Pasaran buruh di negara ini berada dalam keadaan stabil dengan sedikit pemulihan apabila bilangan penganggur yang direkodkan pada Ogos lalu adalah seramai 741,400 orang berbanding 745,100 orang pada Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, pada masa yang sama, kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus berikutan pengurangan marginal bilangan penganggur.

Menurut beliau, trend pemulihan yang dicatatkan adalah untuk bulan ketiga berturut-turut selepas merekodkan kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 diikuti 4.9 peratus pada bulan berikutnya.

Mustapa Mohamed
MUSTAPA MOHAMED

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun pula mencatatkan penurunan yang memberangsangkan apabila buat pertama kalinya turun di bawah paras 9 peratus sejak April 2020 iaitu pada 8.9 peratus (502,300 orang).

“Kadar pengangguran belia melepasi paras 9 peratus daripada April sehingga Julai tahun ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustapa menambah, trend pemulihan yang dicatatkan pada Ogos disokong oleh pelbagai faktor, antaranya lebih banyak perniagaan beroperasi bermula 10 Jun 2020 selaras dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat dan kebenaran merentas negeri yang menyaksikan aktiviti pelancongan domestik yang lebih rancak.

Selain itu, beliau memberitahu, terdapat kesan positif daripada pelbagai inisiatif Kerajaan seperti pakej ransangan PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) khususnya melalui pelbagai program yang secara langsung memberi penekanan kepada pemulihan pasaran buruh iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PENJANAKerjaya), Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran untuk belia dan penganggur (Upskilling and reskilling), Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA.

Di samping itu, katanya, statistik penduduk bekerja pada Ogos 2020 yang mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus (Julai 2020: 0.6%) kepada 15.15 juta orang bermakna nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan turut meningkat 0.3 mata peratus daripada bulan sebelumnya kepada 65.2 peratus (Julai 2020: 64.9%).

“Statistik- statistik ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi negara semakin beransur pulih hasil pelbagai usaha dan inisiatif yang digagaskan oleh kerajaan dengan sokongan banyak pihak termasuk sektor swasta, industri dan juga rakyat,” jelasnya.

Mustapa berkata, walaupun pasaran buruh semakin pulih seperti yang disasarkan, kerajaan sedar dan prihatin bahawa bilangan penganggur pada masa ini masih tinggi berbanding dengan purata seramai 494,000 orang bagi tempoh 2016-2019.

Menurut beliau, tambahan lagi, keadaan semasa yang memperlihatkan trend peningkatan kes-kes baru COVID-19 berkemungkinan memberikan cabaran untuk tenaga buruh memasuki pasaran pekerjaan

“Justeru, kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada usaha-usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negara supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai pengganggur dapat kembali bekerja dan mengembalikan negara kepada keadaan guna tenaga penuh.

Mustapa berkata, kerajaan sedar bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bagi Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sekarang ini menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi dari aspek kesannya kepada ekonomi dan mata pencarian mereka.

“Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat adalah sama penting dan harus ditekankan secara seimbang.

“Atas sebab itulah, PKPB yang dilaksanakan membenarkan sektor ekonomi, industri dan perniagaan untuk beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau menyatakan, dalam mendepani situasi yang amat mencabar ini, kerajaan akan terus fokus kepada usaha-usaha memantapkan kedudukan ekonomi negara terutamanya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang kepada perniagaan untuk semua, tanpa sekali-kali mengetepikan aspek kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Kerajaan sentiasa komited dan akan terus melipatgandakan usaha demi memastikan kepentingan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat akan sentiasa diberikan keutamaan dan bergerak seiring,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.