Kluster Utama berpunca dari pengawal keselamatan Nepal

132

15 OKT: Penularan COVID-19 bagi Kluster Utama yang melibatkan sebuah pusat beli-belah di daerah Petaling disahkan berpunca daripada seorang pengawal keselamatan iaitu lelaki warga Nepal berusia 28 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini, kluster tersebut mencatatkan 132 kes, termasuk 105 kes baharu hari ini.

“Pecahan bagi 132 kes positif dikesan dalam kluster ini adalah 87 pekerja keselamatan, 18 pekerja pembersihan, 16 pekerja di beberapa premis pusat beli-belah tersebut, enam pengunjung dan lima ahli keluarga.

“Sebelum ini kita mengesyaki kes ke-12,549 sebagai kes indeks, namun hasil siasatan lanjut mendapati gejala beliau bermula lebih lewat berbanding kes ke-15,023,” katanya pada sidang media yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks mula mengalami gejala demam, batuk dan selesema sejak 22 September dan dikesan positif pada 8 Oktober melalui saringan kontak rapat, serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Bagi pecahan jumlah keseluruhan kes bagi kluster itu, sebanyak 131 kes dilaporkan di Selangor serta satu kes dilaporkan di Melaka, melibatkan 107 bukan warganegara dan 25 warganegara Malaysia.

Sehingga hari ini, seramai 447 individu disaring, dengan 269 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan.

“Sehubungan itu, pusat beli-belah ini telah ditutup 11 Oktober sehingga esok bagi proses nyah kuman dan pembersihan. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster ini masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.