Hala tuju perjuangan 3 parti Melayu lebih jelas

158

15 OKT: Perjanjian bertulis antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan PAS dalam rangka kerjasama politik Perikatan Nasional (PN) akan memberi manfaat dalam usaha memartabatkan agenda perjuangan Melayu dan Islam di negara ini.

Ketua Bersatu Bahagian Seputeh, Mohd Badrul Ezan berkata, walaupun UMNO berpandangan perjanjian bertulis itu satu keperluan namun ia merupakan kelebihan untuk Bersatu serta orang Melayu secara keseluruhannya.

“Di sini, kita semua akan nampak secara jelas arah tuju perjuangan parti-parti dan persefahaman serta perjanjian di antara parti-parti terbesar orang Melayu di Malaysia ini.

“Di sini, rakyat boleh menilai sendiri kejujuran parti-parti yang mendakwa berjuang demi agama, bangsa dan tanah air, ” katanya dalam kenyataan yang disiarkan laman Facebook Bersatu Seputeh, hari ini.

Mohd Badrul Ezan
MOHD BADRUL EZAN

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO yang menyatakan bahawa parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri menyokong PN serta akan memberi syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Mohd Badrul berharap agar rundingan antara ketiga-tiga parti Melayu itu akan dapat mencapai agenda bersama demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Bila semuanya telah termaktub, maka semestinya perbalahan serta pertikaian dan penafsiran sesuka hati tidak lagi terjadi dan perpaduan Melayu benar-benar berlaku. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.