Beri sokongan padu terhadap kerajaan PN

708

15 OKT: PAS menyeru semua parti parti-parti politik yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sokongan perlu diberi tanpa diganggu-gugat bagi membolehkan kerajaan sedia ada berfungsi dengan baik dan efektif.

Menurut beliau, kerajaan PN juga merupakan satu amanah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah selepas mendapat perkenaan bagi menubuhkan kerajaan baginda.

TAKIYUDDIN HASSAN
TAKIYUDDIN HASSAN

“Jemaah Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti Barisan Nasional (BN), PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab dengan memberikan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

“Terutama di era sukar di mana semua pihak bertungkus lumus bagi menangani penularan semula pandemik COVID-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mesyuarat Biro Politik UMNO baru-baru ini membuat keputusan untuk meletakkan syarat baharu bagi meneruskan sokongan kepada kerajaan PN.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah atas kebijaksanaan Seri Paduka dalam berdepan sebarang kemelut termasuk politik.

Beliau menambah, dengan langkah hikmah Al-Sultan Abdullah, ia berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara.

“PAS yakin Seri Paduka telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogratif dan budi bicara sebagaimana di peruntukan oleh Perlembagaan dan Undang-undang Negara atas konsep Raja Berperlembagaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.