589 kes baru, 27 peratus dikesan di Lembah Klang

279

15 OKT: Selain Sabah, Selangor turut mencatatkan kes baru positif COVID-19 sebanyak tiga angka dengan 150 penularan dilaporkan hari ini.

Kira-kira 70 peratus daripada kes baru di Selangor itu adalah melibatkan kluster sebuah pusat beli-belah di Damansara Utama, Petaling Jaya.

Keseluruhannya 589 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini di seluruh negara dengan 340 dikesan di Sabah, diikuti Selangor (150), Perak (52), Kedah, (31), Pulau Pinang (16), Negeri Sembilan, (11), Kuala Lumpur (10), Labuan (6) dan Sarawak (4).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga lagi kematian dilaporkan hari ini dengan kesemuanya di Sabah iaitu di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.

Selain itu, ujar beliau, empat kluster baru dilaporkan melibatkan Sabah (Olive), Labuan (Saguking), Perak (Bah Pengkalan) dan Negeri Sembilan (Bah Pasir).

“Sebanyak 409 kes sembuh dilaporkan dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 5,945 kes.

“Individu positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini berjumlah 103 orang dengan 31 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, terdapat 75 kluster aktif ketika ini dengan 23 kluster melaporkan kes baru hari ini.

“Tertinggi melaporkan kes hari ini ialah Kluster Utama di Selangor dengan 105 penularan menjadikan jumlah keseluruhan 132 kes.

“Hari ini juga menyaksikan tiga kes import dilaporkan melibatkan jangkitan dari Indonesia dan Ukraine,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.