Setengah juta jemaah umrah fasa kedua

18

14 OKT: Seramai 250,000 jemaah domestik dibenarkan untuk menunaikan umrah pada fasa kedua kebenaran umrah dan ziarah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, mulai Ahad ini.

Memetik laporan Agensi, para jemaah juga dilaporkan akan dibenarkan beribadah di dalam kawasan Raudah dan kawasan masjid lama di Masjid Nabawi di Madinah mulai 18 Oktober.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Haji dan Umrah, Hani Al-Omairi, lebih 600,000 jemaah bakal diberi permit untuk menunaikan solat di Masjidil Haram bersama dengan lebih 250,000 jemaah umrah ketika fasa kedua.

Kerajaan Arab Saudi juga menetapkan syarat jemaah yang hendak mendapatkan kebenaran menunaikan umrah, mengunjungi Masjidil Haram dan Raudah perlu mendaftar melalui Aplikasi Eatmarna.

Jemaah asing pula dilaporkan hanya akan dibenarkan menunaikan umrah dan mengunjungi Raudah mulai 1 November.

Namun, Al-Omairi, yang juga ahli Persatuan Perjalanan dan Pelancongan Arab Saudi menjelaskan, pihaknya masih belum jelas berapa negara akan dibenarkan menghantar jemaah umrah selepas seluruh dunia dilanda COVID-19.

“Semua berharap kerajaan akan mengumumkan perincian negara yang diundang untuk mengerjakan umrah mulai fasa ketiga pelaksanaan semula perkhidmatan umrah,” katanya.

Beliau memberitahu, mekanisme turut menetapkan bas akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tidak lebih dari 40 peratus penumpang.

“Hanya dua jemaah umrah akan dibenarkan tinggal dalam satu bilik bagi mematuhi langkah membendung penularan COVID-19,” jelasnya.

Selepas lebih enam bulan sekatan ibadat umrah dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19, Masjidil Haram kembali dibuka dengan ketibaan kumpulan jemaah pertama pada 4 Oktober lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.