Semua MP wajib jalani ujian COVID-19

65

14 OKT: Semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan COVID-19 sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 2 November ini.

Arahan itu dikeluarkan melalui surat pemberitahuan bertarikh 13 Oktober 2020 daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan persidangan Dewan rakyat dilaksanakan dalam keadaan selamat susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

“Oleh itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memutuskan semua Ahli Parlimen perlu hadir menjalani ujian COVID-19 pada 30 Oktober dari jam 9 pagi hingga 5 petang di laluan letak kereta blok utama Parlimen Malaysia secara pandu lalu.

“Bagi Yang Berhormat dari negeri-negeri lain dan Yang Berhormat dari Sabah yang telah berada di luar Sabah sebelum arahan sekatan rentas negeri dikuatkuasakan hanya menjalani ujian COVID-19 dan tidak perlu dikuarantin,” katanya.

Salinan surat tersebut turut dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Walaupun Ahli Parlimen digalakkan melakukan ujian tersebut di Parlimen, namun mereka dibenarkan untuk menjalaninya di mana-mana hospital atau klinik kerajaan.

Mereka boleh menghubungi jabatan kesihatan negeri bagi membuat temu janji dan perlu mendapatkan keputusan ujian daripada doktor.

“Sekiranya ujian dibuat di mana-mana hospital dan pusat perubatan swasta, kos rawatan tidak ditanggung oleh Parlimen. Ujian ini perlu menggunakan kaedah Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan hendaklah dilakukan dalam tempoh tiga hari sebelum bermula Mesyuarat Ketiga bagi Dewan Rakyat.

“Atau tiga hari sebelum Yang Berhormat hadir di Dewan Rakyat semasa Persidangan Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat. Keputusan ujian boleh dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat,” katanya.

Nizam Mydin memberitahu, Ahli Parlimen tidak perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat sekiranya mereka didapati positif COVID-19.

“Sehubungan itu, Yang Berhormat dinasihatkan dan digalakkan untuk kekal berada di Kuala Lumpur sepanjang Mesyuarat Dewan Rakyat berlangsung bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat yang akan bersidang sehingga 15 Disember akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.