Saya telah jawab kemusykilan Ku Li

1,185

14 OKT: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan kedudukan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang diamalkan di negara ini.

Beliau berkata, malah, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan Dewan Rakyat di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri.

“Adapun saya ingin tekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada saya ataupun Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan saya kendalikan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Dalam kenyataan itu, Azhar menjelaskan, beliau merujuk kepada surat Tengku Razaleigh Hamzah bertarikh 25 September 2020 kepadanya dan dan surat jawapannya bertarikh 29 September kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu.

“Saya difahamkan bahawa surat-surat tersebut telah diedarkan oleh pejabat YBM Tengku Razaleigh dan telah menjadi pengetahuan umum,” ujarnya.

Menurut Azhar, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tengku Razaleigh kerana telah memberi peluang kepadanya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya yang mana Ahli Parlimen Gua Musang itu fikirkan dihalang daripada dibahaskan dengan cara penyenaraiannya di penghujung senarai perbahasan.

“Saya telah menjawab kemusykilan YBM Tengku Razaleigh secara bertulis seperti mana di dalam surat saya yang tersebut di atas.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh di atas kesudian YBM memberi peluang kepada saya untuk menerangkan kedudukan perkara tersebut secara lisan kepada beliau,” jelasnya.

Hari ini tular surat Tengku Razaleigh kepada Azhar yang meminta penjelasan berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Dalam jawapan balas beliau kepada surat berkenaan, Azhar menjelaskan adalah tidak benar mengatakan Perdana Menteri tidak membenarkan usul itu dibahaskan.

Sebaliknya setiap urusan kerajaan perlu didahulukan seperti yang termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Menurut Azhar dalam surat jawapan balasnya itu, dalam keadaan jika masih terdapat urusan-urusan kerajaan dan Tengku Razaleigh ingin memberi keutamaan kepada Usul-usul persendirian yang tertentu maka adalah disarankan supaya berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.