Saya hanya kisah nombor di Sabah – Anifah

83

14 OKT: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman memberi sindiran pedas terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa menerima sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau menyatakan tidak peduli tentang dakwaan itu dan pertemuan Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Menurut beliau, apa yang dikhuatirkan dan menjadi kerisauan beliau adalah tentang jumlah kes positif COVID-19 yang masih tinggi di Sabah.

“Saya tak kisah mereka di sana dapat nombor lebih 120 ke, kurang 120 ke, pergi tak pergi istana ke.

“Saya hanya kisah nombor di Sabah yang masih tinggi dan merisaukan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Dakwaan Anwar itu mencetuskan pelbagai persoalan kerana beliau hanya mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen mereka yang menyokongnya dan bukannya senarai nama mereka kepada Seri Paduka.

Berikutan itu, Seri Paduka menasihatkan Anwar agar akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kemelut politik yang semakin panas ketika ini, Sabah turut dilaporkan kekal menjadi negeri tertinggi merekodkan kes baharu positif COVID-19 dengan 443 kes semalam.

Sehubungan itu, Anifah menasihatkan agar semua rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi menyekat penularan COVID-19 dari berlarutan.

“Saya berdoa agar semua kita mematuhi SOP, penjarakkan sosial, pakai pelindung muka, dan dapat menawan COVID ini secepat mungkin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.