PKPB: Bekalan makanan, barang keperluan mencukupi

16

14 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan barang makanan serta keperluan mencukupi dan dijual pada harga yang stabil dan munasabah.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, jaminan itu telah dibuktikan melalui tindakan kementerian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Menurut beliau, KPDNHEP mempunyai seramai 2,269 anggota penguat kuasa di seluruh negara yang akan sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan bagi memastikan keperluan bekalan mencukupi.

“Kementerian mendapat maklumat dari lapangan bahawa telah berlaku pembelian panik di beberapa tempat selepas pengumuman pelaksanaan PKPB dan ia sepatutnya tidak berlaku.

“Selain itu mereka akan pastikan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Alexander memberitahu, KPDNHEP turut menguatkuasakan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua peraturan subsidiari.

Sehubungan itu, menurutnya, pengguna dinasihatkan untuk membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tiada keperluan untuk menyimpan stok berlebihan.

“Pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan untuk memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi.

“Pengguna juga digalakkan membuat pembelian secara dalam talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan.

“Secara tidak langsung kita dapat membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya ada peniaga yang didapati tidak mematuhi undang-undang, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian.

“Aduan boleh dibuat menerusi portal [email protected] atau aplikasi EZ ADU dan WhatsApp ke 019- 279 4317,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.