MP Sabah wajib kuarantin sebelum sidang 2 Nov

75

14 OKT: Semua Ahli Parlimen dari Sabah diwajibkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 2 November ini.

Jurucakap Parlimen berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan perkembangan situasi penularan COVID-19 di negeri berkenaan.

“Ini dilakukan agar dapat mengesan lebih awal jika terdapat Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah yang dijangkiti COVID-19.

“Langkah ini amat penting agar kita dapat mengekang dan mencegah COVID-19. Jadi, segala prosedur operasi standard (SOP) perlu dilaksanakan bagi memastikan perkara ini,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, semua rakyat Malaysia yang tiba dari Sabah di mana-mana pintu masuk negeri kini diwajibkan untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah.

Perintah baharu itu mula dikuatkuasakan pada Ahad lalu berikutan peningkatan kes COVID-19 yang berpunca daripada individu-individu yang pernah ke Sabah.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foon Hin menyatakan semua Ahli Parlimen dari Sabah yang akan menghadiri sidang Dewan Rakyat bulan depan perlu berada di Kuala Lumpur selewat-lewatnya Sabtu ini untuk menjalani HSO.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menentukan sama ada mereka menjalani HSO di rumah atau di hotel.

Ahli Parlimen dari Sabah juga perlu mengaktifkan aplikasi MySejahtera dan menjalani ujian COVID-19, selain dipakaikan gelang pengawasan, sejurus tiba di Kuala Lumpur.

Mereka kemudian perlu menjalani ujian COVID-19 di kemudahan kesihatan kerajaan atau swasta, pada hari ke-13 dan perlu membawa keputusan ke pejabat kesihatan daerah (PKD), sehari kemudian untuk mendapatkan surat pelepasan kuarantin dan pemotongan gelang pengawasan, jika disahkan negatif COVID-19.

Ahli Parlimen terbabit akan dirujuk ke hospital bagi rawatan lanjut, jika didapati positif COVID-19, selain perlu mengulangi prosedur sama jika pulang ke Sabah.

Selain itu, Ahli Parlimen juga perlu memohon kebenaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah bagi melakukan perjalanan ke Parlimen, jika wakil rakyat berkenaan dari kawasan dikenakan sekatan perjalanan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.