Langkah kawalan di Pahang susulan PKPB Lembah Klang

119

14 OKT: Kerajaan Negeri Pahang meminta mereka yang baru tiba di negeri itu dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang untuk mengehadkan pergerakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, ini termasuk mengurangkan pergaulan dengan individu yang berisiko tinggi seperti orang tua, ibu mengandung dan kanak-kanak.

Katanya, individu terlibat juga hendaklah sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer dan tidak bersalam dengan individu lain.

“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak ke tempat tumpuan ramai seperti majlis kenduri, tempat ibadat, pusat beli-belah, kedai makan, pusat rekreasi dan sebagainya bagi mengelakkan berlaku penularan virus COVID-19. Ini adalah kerana terdapat banyak kes COVID-19 yang tidak mempunyai gejala.

“Individu dari kawasan PKPB juga amat digalakkan untuk menjalani ujian makmal mengesan COVID-19 di fasiliti kesihatan swasta atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengetahui status jangkitan COVID-19 dan tidak menularkan virus tersebut kepada individu yang rapat,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sallehuddin Ishak (baju batik)

Jelas beliau, semua acara perkumpulan atau aktiviti yang melebihi 100 orang adalah tidak dibenarkan di lokaliti yang mempunyai kes positif.

Menurut Sallehuddin, bagi individu yang tempat kerja ditutup kerana terdapatnya kes positif COVID-19, mereka perlu melaporkan kepada pejabat kesihatan daerah yang terdekat bagi menjalani penilaian risiko dan saringan kesihatan serta perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Katanya, jika mereka mempunyai sebarang gejala jangkitan salur pernafasan, mereka dinasihatkan pergi ke fasiliti kesihatan KKM atau fasiliti kesihatan swasta yang terdekat untuk menjalani saringan kesihatan.

“Mari kita sama-sama mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP supaya Negeri Pahang bebas dari jangkitan COVID-19 dan menjadi tempat yang selamat untuk rakyat menjalani kehidupan seharian.

“Jangan jadikan diri kita sebagai penyebab kepada penularan virus COVID-19 dalam komuniti kita,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.