Hampir 13,000 PATI dicekup di Sabah

111

14 OKT: Seramai 12,877 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan di Sabah sejak Januari lalu hingga semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 5,204 PATI berada di pusat tahanan.

“Daripada jumlah itu, 4,456 PATI dari Filipina, 618 orang dari Indonesia dan 130 orang dari negara-negara lain,” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook, hari ini.

ismail sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB

Beliau menambah, setakat ini, sebanyak 7,673 PATI telah dihantar pulang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 37 PATI dan merampas dua kenderaan darat dalam Ops Benteng semalam.

Selain itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 284 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri menyatakan, daripada jumlah itu, seramai 278 individu telah dikompaun dan enam individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (134), penjarakan fizikal (68), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (33), langgar syarat/perintah PKPB (20), premis beroperasi lebih masa (16), aktiviti di pusat hiburan (8), enggan menjalani ujian saringan COVID-19 (3), membawa penumpang lebih dari yang dibenarkan (1) dan lari dari sekatan jalan raya (1),” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.