Tarikh ambil keterangan Anwar belum ada

78

14 OKT: Polis masih belum memuktamadkan tarikh untuk mengambil keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata pihaknya tidak mempunyai pengesahan tarikh baharu untuk memanggil Presiden PKR itu.

“Bukan esok (Anwar) dipanggil,” katanya ringkas kepada Bernama.

Hari ini, tular di aplikasi WhatsApp bahawa Anwar dipanggil ke Bukit Aman pada 3 petang esok untuk memberi keterangan.

Sebelum ini, janji temu Anwar dengan Bukit Aman yang dijadualkan pada 13 Oktober lepas ditangguh ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.

Semalam, Ahli Parlimen Port Dickson itu telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyampaikan pernyataan yang beliau mempunyai majoriti di Parlimen untuk dilantik selaku Perdana Menteri Ke-9.

Pada 23 September lepas, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.