Anwar sengaja timbulkan kontroversi untuk populariti

92

14 OKT: Seorang pakar undang-undang mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti kukuh kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk beliau menjadi Perdana Menteri ketika menghadap Seri Paduka di Istana Negara, semalam.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata beliau difahamkan sudah ada banyak laporan polis dibuat orang awam dan Ahli Parlimen berhubung dakwaan dibuat Anwar pada 23 September lalu.

Muhammad Fathi berkata, polis juga sudah membuka kertas siasatan mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia bagi menyiasat dakwaan dibuat Presiden PKR itu, sebelum ini.

Dr Muhammad Fathi Yusof

“Jadi sekarang tengoklah hasil siasatan polis berdasarkan laporan dibuat sebelum ini macam mana. Bagi saya tindakan berkenaan memang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang wakil rakyat.

“Jika seseorang wakil rakyat mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen lain untuk menjadi Perdana Menteri maka beliau sepatutnya menunjukkan bukti sokongan berkenaan sama ada dalam bentuk dokumen akuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong atau dengan mendedahkan semua nama lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

“Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyerahkan senarai nama dan dokumen sokongan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong memperlihatkan bahawa beliau tidak serius dan hanya kelihatan mahu bermain-main,” katanya ketika dihubungi wartawan PN BBC Portal sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan yang sekali lagi mendakwa beliau beroleh sokongan 120 Ahli Parlimen dalam komplotnya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun gagal mengemukakan senarai nama dan bukti kukuh kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong dakwaannya terbabit.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata beliau tidak menolak kemungkinan Anwar sengaja berbuat demikian kerana mahu populariti dan namanya sentiasa meniti di bibir rakyat Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Huzir Mohamed dipetik sebagai berkata PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran senarai 121 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Presiden PKR berkenaan menjadi Perdana Menteri.

Berikutan itu, Huzir berkata, Anwar telah diminta hadir ke Bukit Aman pada jam 11 pagi hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Bagaimanapun, Huzir berkata Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Port Dickson itu memaklumkan bahawa Anwar hanya dapat berbuat demikian pada jam 9 pagi semalam, sekali gus menyebabkan polis terpaksa menunda tarikhnya ke hari lain. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.