660 kes baru, 4 kematian, 108 di ICU

276

14 OKT: Sebanyak 11.5 peratus daripada 660 kes baru COVID-19 yang dilaporkan hari ini dikesan di Lembah Klang yang kini diletakkan di bawah perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan tertinggi di Lembah Klang ialah Selangor dengan 68 kes baru diikuti Kuala Lumpur (tujuh) dan Putrajaya, satu kes.

Menurutnya, Selangor terus melaporkan kluster baru iaitu Kluster Kencana yang mencatatkan empat kes manakala 38 lagi adalah daripada kluster-kluster sedia dan yang lain antaranya dikesan dalam kalangan mereka yang pulang dari Sabah dan saringan lain.

Katanya, Kedah pula kembali mencatatkan lonjakan kes apabila 113 kes baru dilaporkan dengan 112 melibatkan saringan daripada kluster-kluster sedia ada.

“Keseluruhannya daripada 660 kes baru hari ini, Sabah terus melaporkan penularan tertinggi dengan 429 kes iaitu hampir dua pertiga.

“Sebanyak 197 kes adalah saringan kontak rapat, 78 dari kluster sedia ada dan 154 kes hasil lain-lain saringan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu kata Noor Hisham, enam kes yang dilaporkan hari ini adalah penularan dari luar negara melibatkan kepulangan dari Indonesia (tiga), Singapura (dua) dan Filipina, satu.

Menurut Noor Hisham, kes baru Pulau Pinang hari ini melibatkan 17 kes dengan kes kluster dari penjara manakala Labuan melaporkan lapan kes dengan satu kes import.

Katanya, Perak, Johor dan Sarawak masing-masing melaporkan tiga kes manakala Melaka dua kes dan Negeri Sembilan satu kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 167 kes.

“Kes kematian ke-164 adalah seorang lelaki berusia 80 tahun di Lahad Datu manakala kes ke-165 seorang wanita yang meninggal dunia di Kota Kinabalu.

“Kes ketiga hari ini juga seorang wanita berumur 73 tahun dan meninggal di Sandakan manakala kes ke-167 seorang wanita berusia 47 tahun dan meninggal dunia di Sandakan. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga terlibat,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan individu positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini berjumlah 108 kes dengan 35 memerlukan batuan pernafasan.

“Dimaklumkan, terdapat 233 kes sembuh hari ini dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 bertambah kepada 5,768 kes,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.