273 kertas siasatan berita palsu COVID-19

72

14 OKT: Sebanyak 273 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan COVID-19 telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 136 kes masih dalam siasatan, manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah, 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan aktif juga sedang dijalankan pada masa ini berdasarkan laporan awam yang diterima.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Pada masa yang sama sebanyak 390 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19,” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang yang diumumkan sebelum ini adalah terbatal.

Beliau menjelaskan, SOP PKPB untuk seluruh Selangor adalah terpakai juga bagi mukim Klang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, sebanyak 19 operasi sanitasi awam dijalankan semalam, meliputi satu zon merah, tujuh zon kuning dan tujuh zon hijau di tujuh negeri dan satu Wilayah Persekutuan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.